Oleh: Prof Madya Dr Abdurrahman Haqqi, Wakil Pengarah Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’I, UNISSA Darussalam
Seorang ilmuwan Islam silam yang mempunyai sumbangan luar biasa dalam kemajuan peradaban manusia pada hari ini ialah Abu Ali, Hassan ibn Hassan Ibn Al-Haitham atau di Barat dikenali dengan nama Alhazen, Avennathan, dan Avenetan.
Beliau dilahirkan pada 354 Hijrah (965 Masihi) di Basrah dan meninggal dunia pada 430 Hijrah (1039 Masihi) di Kairo pada usia 74 tahun. Beliau dikenali sebagai saintis pertama.
Jika satu daripada kajian dan penyelidikannya tidak dibukukan dalam kitabnya al-Manazir (Book of Optics) pada 1021 Masihi, peradaban dunia harus mencari orang lain agar mereka boleh menemukan mikroskop dan teleskop daripada ahli sains Barat termasuk Johannes Kepler (w 1630M) yang datang 600 tahun sesudah Ibn al-Haitham.
Baca Juga: Amalan Sunnah pada Hari Jumat
Dalam kitab Abjad al-Ulum karangan al-Qannuji jilid 2 halaman 519 ditulis: (Ilm al-Manazir, Ilmu Optik) adalah satu ilmu yang dengannya diketahui sebab terbalik dalam penglihatan mata dengan cara mengetahui kejadiannya yang didasarkan kepada pengetahuan penglihatan menerusi garis sinar bagian atas yang dilakukan orang yang melihatnya, manakala bagian bawahnya terlihat kemudian berlaku sesuatu yang terbalik sehingga nampak besar benda yang dekat dan nampak kecil benda yang jauh.
Beliau menolak teori Ptolemy dan Euclid yang mengatakan manusia melihat benda melalui pancaran cahaya yang keluar dari matanya. Menurut Ibnu Haitham, bukan mata memberikan cahaya tetapi benda yang dilihat memantulkan cahaya ke mata manusia.
Oleh kerana kehebatan Ibn al-Haitham menghuraikan optik, RL Verma dalam bukunya Al-Hazen: Father of Modern Optics, menjoloki Ibnu al-Haitham sebagai bapa optik moden. Rosanna Gorini dalam tulisannya Al-Haytham the Man of Experience, menyebut beliau pelopor ilmu optik modern.
Ibn al-Haitham memiliki banyak karya. Beliau menulis tidak kurang 200 judul buku. Karya itu berhubung dengan ilmu fizik dan matematik, antara ilmu yang sangat dikuasainya dan hampir keseluruhan diterjemahkan ke dalam bahasa Eropah.
Baca Juga: [Hadits Arbain ke-8] Mengajak Kepada Kalimat Syahadat
Beliau dibesarkan di Basrah dan Baghdad, dua kota yang menjadi pusat ilmu pengetahuan Abbasiyah pada masa itu. Di sinilah beliau memulakan pendidikan awalnya sebelum dilantik menjadi pegawai pemerintah di bandar kelahirannya. Selepas beberapa lama berkhidmat, beliau merantau ke Ahwaz dan Baghdad. Beliau melanjutkan pengajian dan menumpukan perhatian pada penulisan.
Demikianlah Ibn al-Haitham sebagai saintis pertama dan jika Barat bersikap jujur, beliau sudah pasti disenaraikan dalam The Great Scientists. Mungkin!
BSB, 27 Ramadan 1444H/ 18 April 2023M (A/Haq/RS2)
Mi’raj News Agency (MINA)
Baca Juga: Tertib dan Terpimpin