Awal Ramadan Membawa Banyak Rahmat dan Hikmat

Tazkirah Sebelum Lalai #2

Oleh Prof. Madya Dr. Abdurrahman Haqqi, Fakultas Syariah dan Hukum Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam.

 

Jika media massa sekarang seperti RTB atau Media Permata sudah wujud pada zaman kenabian Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam. Tidaklah mustahil baginda akan menggunakannya untuk menyampaikan risalah Islamiah pada bulan yang suci ini.

Maka Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam akan bersabda seperti mana diriwayatkan oleh ibnu Khuzaimah bahawa bulan Ramadan ini permulaannya adalah rahmat, pertengahannya maghfirah dan akhirnya adalah pembebasan dari api neraka.

Pada permulaan Bulan Seribu Bulan ini, marilah kita sama-sama mencari daripada pengertian permulaan rahmatnya bulan Ramadan. Rahmat diartikan oleh Kamus Dewan sebagai belas kasihan; kurnia: berkat: bahagia dan hikmat: faedah dan kegunaan.

Manakala kurnia pula membawa makna timbang rasa. anugerah. pemberian (daripada Raja atau Allah) sebagai tanda kasih. Dan berkat pula berarti restu, sempena. Kesimpulannya rahmat membawa pengertian mengenai satu suasana yang senang dan aman, kemujuran dan tuah dalam suatu belas kasih.

Kata Rahmat disebut oleh al-Quran dalam bentuk mufrad atau tunggal dengan bersendirian atau idafah dan ma’rifah (diimbuhi alif lam) dalam bentuk marfu’ (dammah) atau mansub (fathah) atau majrur (kasrah) sebanyak 113 kali.

Daripada 113 kali ini, yang sangat biasa kita dengar adalah yang bermaksud “Dan tiadalah kami mengutus kamu. melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam.” (Surah al-Anbiya: 107)

Justeru, di manakah suasana senang dan aman. kemujuran dan tuah dalam suatu belas kasih Bulan Seribu Bulan ini? Mari kita perhatikan beberapa realiti berikut:

Pertama: Allah mensyariatkan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan untuk menjadikan makhluk-Nya yang bernama manusia sebagai makhluk bertaqwa. Firman-Nya bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (Quran Surah al Baqarah: 183)

Ketaqwaan adalah sumber kealiman atau banyaknya ilmu seseorang. Allah berfirman yang maksudnya: “Dan bertaqwalah kepada Allah nescaya Allah mengajarimu.” (Quran Surah al-Baqarah: 282)

Dan ini pun telah dinasihatkan oleh baginda Rasulullah kepada seorang badwi yang datang kepada baginda. Diriwayatkan oleh Imam Ahmad bahawa suatu hari, seorang badawi datang bertemu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dan berkata: “Aku datang untuk bertanya kepadamu perkara yang boleh menguntungkan aku di dunia dan akhirat”. Jawab baginda: “Tanyalah apa yang anda mahu.” Ujar badwi itu: “Bagaimana aku boleh menjadi orang yang paling mengetahui?
Jawab baginda: “Dengan ketaqwaan yang mengarah kepada kealiman atau berilmu pengetahuan, kedudukan seseorang dan juga masyarakat diangkat oleh Allah. Firman Allah yang maksudnya: “…nescaya Allah akan meninggikan orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang berilmu pengetahuan beberapa darjat.” (Quran Surah al Mujadilah: 11)

Kedua: Sebagai rahmat, Allah menurunkan al-Quran pada Bulan Seribu Bulan ini. Firman-Nya yang bermaksud: “…Bulan Ramadan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan perbezaan (di antara yang hak dan yang batil).” (Quran Surah al-Baqarah: 185) Ini pula ditegaskan oleh ayat Makkiyyah bermaksud: “Sesungguhnya al-Quran ini memberikan petunjuk kepada (jalan) yang lebih lurus dan memberi khabar gembira kepada orang mukmin yang mengerjakan amal saleh bahawa bagi mereka ada pahala yang besar.” (Quran Surah al Isra: 9)

Ketiga: Satu lagi fenomena rahmat dalam berpuasa pada bulan Ramadan ialah penyaluran syafaat melaluinya bersama-sama al-Quran. Baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam pernah bersabda: “Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat kepada orang yang berpuasa dan membaca al-Quran pada hari kiamat. Puasa berkata: “Hai Tuhan, aku telah mencegahnya dari makan dan nafsunya pada waktu siang hari, berikanlah syafa’at kepadanya keranaku.” Al-Quran pun berkata: “Aku telah menahannya daripada tidur pada waktu malam hari, berikanlah syafa’at kepadanya keranaku.” Maka kedua-dua syafaat puasa dan al-Quran diterima Allah. (Hadis Riwayat Ahmad)

Benar sabdamu wahai Baginda Rasulullah.

Wahai Allah Tuhan Kami, curahkanlah rahmat-Mu pada Bulan Seribu bulan ini kepada kami. Enough is enough untuk kami COVID-19. Amin.

BSB, 02 Ramadan 1441H/ 26 April 2020. (A/RS2/P2)

Mi’raj News Agency (MINA)

Wartawan: Ali Farkhan Tsani

Editor: Ismet Rauf

Ikuti saluran WhatsApp Kantor Berita MINA untuk dapatkan berita terbaru seputar Palestina dan dunia Islam. Klik disini.