Oleh : Prof Madya Dr Abdurrahman Haqqi, Wakil Pengarah, Pusat Penyelidikan Mazhab Syafi’i UNISSA Brunai Darussalam.
SEANDAINYA kita mahu berbicara dan bersembang dengan seorang raja, presiden, amir atau perdana menteri, kita mesti pergi ke istana atau pejabat pemimpin berkenaan. Di situ, kita dapat meluahkan apa yang kita mahu dan tentunya dengan adab, tata tertib dan protokolnya. Selama kita bertamu dan berbicara dengan mereka, kita akan berasa lega, bangga dan seolah-olah dunia milik kita.
Tapi kalau kita berbicara dengan Pencipta kita, bagaimana hendak kita gambarkan? Apa lagi bukan kita yang mengajak berbicara dengan-Nya tetapi Dia yang menyediakan topik perbualan. Sudah tentu kita aka gembira dibuatnya.
Inilah Al-Quran. Ajakan dan panggilan Allah kepada makhluknya untuk bersembang, berbicara, berdialog, berdiskusi, berfikir, bergembira, bersedih, ataupun bercerita.
Baca Juga: Amalan Sunnah pada Hari Jumat
Al-Quran diturunkan oleh Allah pada Bulan Seribu Bulan ini. Firman-Nya yang bermaksud: “Bulan Ramadan bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) al-Quran.” (Surah al-Baqarah: 185).
Memang sifat Mukmin sejati akan bertambah imannya pada kala mendengar ayat-ayat Allah sama ada ayat al-Quran atau tanda-tanda kekuasaannya. (Baca Surah Al-Anfal: 2)
Rasulullah SAW sebagaimana diriwayatkan oleh sahabatnya melipatgandakan pembacaan Al-Quran pada bulan suci ini. Ia menunjukkan keistimewaan tersendiri bagi bulan Ramadan.
Dan ini pun diikuti oleh umatnya. Kalau pada bulan biasa kita jarang atau terlupa untuk bersama Al-Quran walau sekejap, pada bulan Ramadan kita merancangkan diri untuk membaca sekurang-kurangnya satu juzuk sehari agar dapat mengkhatamkannya dalam bulan yang penuh rahmat dan berlimpah ruah pahalanya ini.
Baca Juga: [Hadits Arbain ke-8] Mengajak Kepada Kalimat Syahadat
Bahkan ada antara kita berjanji kepada anak-anak akan memberikan hadiah jika mereka khatam al-Quran pada bulan Ramadan. Di surau atau masjid, sama ada di kota atau di desa, alunan bacaan al-Quran terasa lebih menyejukkan hati dan membuatkan suasana di persekitaran bagaikan dalam syurga dunia. Bukankah halaqah rnembaca al-Quran dan menuntut ilmu itu kebun-kebun syurga?
Cuba kita pulang ke rumah selepas bekerja mendengar anak, isteri, emak, ayah atau sanak saudara lainnya mengalunkan ayat-ayat Al-Quran. Tidakkah hati kita berasa tenteram dan damai. Rumah kita yang biasanya tidak terdengar tadarus Al-Quran selain bulan Ramadan sekurang-kurangnya berubah menjadi majlis tilawah Al-Quran walaupun bukan bertaraf antarabangsa.
Percayalah saudara, kesempurnaan kebahagiaan kita tergantung kepada penerimaan kita terhadap Al-Quran. Penerimaan terhadapnya sebagai panduan dan pelita hidup dan kehidupan kita. Kita akan berjaya dan berbahagia jika kita melaksanakan isi kandungannya. Sebaliknya, akan binasa dan sengsaralah kita jika kita berpaling daripada ajarannya.
Al-Quran adalah kitab suci yang diwahyukan kepada Nabi Muhammad SAW yang mengandungi petunjuk bagi umat manusia. Ia diturunkan untuk menjadi pegangan bagi mereka yang ingin mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat. Tidak diturunkan hanya untuk suatu umat Islam atan untuk suatu abad tetapi kepada seluruh umat manusia dan sepanjang masa.
Baca Juga: Tertib dan Terpimpin
Ajaran begitu luas serta ditujukan kepada umat manusia dalam seluruh aspek kehidupan sama ada kepada mereka yang masih primitif, kaum yang sudah mencapai peradaban dan kebudayaan tinggi, orang kaya atau miskin dan pandai mahu pun yang bodoh.
Walhasil, ajaran Al-Quran untuk seluruh golongan masyarakat, meliputi segala lapangan aktivitas manusia.
Bagi seorang Mukmin, membaca Al-Quran pasti menjadi kecintaannya. Pada waktu membacanya, jiwanya seolah-olah menghadap ke hadirat Allah Yang Maha Kuasa, menerima amanat dan hikmat suci, memohon limpah kurnia serta rahmat dan pertolongan-Nya.
Membaca Al-Quran sudah menjadi kebiasaannya yang tertentu, baik siang ataupun malam. Dibaca sehalaman demi sehalaman, sesurah demi sesurah dan sejuzuk demi sejuzuk, akhirnya sampai khatam. Tidak ada suatu kebahagiaan di dalam hati seorang Mukmin melainkan apabila dia dapat membaca Al-Quran sehingga khatam. Bila sudah khatam, itulah puncak segala kebahagiaan hatinya.
Baca Juga: [Hadits Arbain ke-7] Agama itu Nasihat
Wahai Allah, dengan kemuliaan Bulan Seribu Bulan yang kami hadapi sekarang, jadikanlah Al-Quran cahaya hati kami untuk menuju keredaan-Mu. Amin. (A/haq/RS2)
BSB, 04 Ramadan 1444H/ 26 Maret 2023M
Mi’raj News Agency (MINA)
Baca Juga: Pentingnya Memahami Fiqih Jual Beli dalam Berdagang