Renungan Zanjabil #57
Oleh: Prof. Madya Dr. Abdurrahman Haqqi, Fakultas Syariah dan Hukum Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) Brunei Darussalam
AMALAN yang digalakkan Islam dan digemari umat Islam akhir-akhir ini di sepuluh terakhir penghujung bulan mulia, Ramadan adalah i’tikaf di masjid. Ia juga merupakan amalan orang-orang salih terdahulu.
Baca Juga: Amalan Sunnah pada Hari Jumat
Mengapa umat menggemari amalan i’tikaf di masjid? Salah satu sebabnya adalah untuk mendapatkan pahala Lailatul Qadar. Tahukah anda apa itu Lailatul Qadar? Lailatul Qadar adalah amal ibadah di dalamnya lebih baik dari 1000 bulan. Siapa yang tidak tergiur dengan pahala ini sebagaimana yang diinginkan oleh para sahabat di hadapan Baginda Rasulullah SAW ketika memceritakan ada orang salih dari Bani Israil yang beribadah perang di jalan Allah selama 1000 bulan.
Malangnya umat pada tahun ini tidak kesampaian hajat mereka untuk melalukan i’tikaf di masjid kerana suasana COVID-19 yang tidak mengizinkan. Tapi apakah dengan demikian pahala i’tikaf dan juga malam Lailatul Qadar tidak akan digapai oleh umat? Tidak. Sekali lagi tidak.
Pahala i’tikaf akan tetap didapati oleh yang biasa beri’tikaf dan kelebihan Lailatul Qadar juga akan didapati oleh umat walaupun mereka tidak berada di dalam masjid. Mari kita perhatikan kisah al-Quran berikut.
Sebagaimana kita ketahui bahawa Bani Israil hidup dalam kehinaan di Mesir zaman Fir’aun sebelum dan sesudah datang Nabi Musa AS. Allah berfirman maksudnya: “Dan (kenangkanlah) ketika Kami selamatkan kamu dari Firaun dan orang-orangnya, yang sentiasa menyeksa kamu dengan seksa yang seburuk-buruknya; mereka menyembelih anak-anak lelaki kamu dan membiarkan hidup anak-anak perempuan kamu; sedang kejadian yang demikian itu mengandungi bala bencana dan cubaan yang besar dari Tuhan kamu.” (Surah al-Baqarah: 49)
Baca Juga: [Hadits Arbain ke-8] Mengajak Kepada Kalimat Syahadat
Dalam keadaan yang demikian di mana Bani Israil ditekan, ditindas, dihina dan dipermalukan bagaimana mereka beribadah? Apakah mereka beribadah secara terang-terangan seperti pada hari-hari biasa sebelum kazaliman Fir’aun?
Al-Quran menjelaskan maksudnya: “Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): “Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat shalat, serta dirikanlah shalat di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahwa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya)”. (Surah Yunus: 87).
Imam al-Qurtubi berkata: “Maksudnya dirikanlah shalat di rumah-rumah kalian secara sembunyi-sembunyi agar kalian terselamat dari kekejaman Fir’aun. Mereka diperintahkan untuk bersabar dan menjadikan rumah-rumah mereka sebagai masjid dan tetap sembahyang dan berdoa sehingga Allah SWT menunaikan janji-Nya untuk menyelamatkan mereka.”
Jelaslah dari apa yang disebutkan al-Quran di atas bahawa Bani Israil mengalami lockdown dalam beribadah kerana kezaliman Fir’aun.
Baca Juga: Tertib dan Terpimpin
Dalam Islam, apabila seorang muslim tidak dapat melaksanakan ibadah padahal dia biasa melaksanakannya dalam keadaan biasa maka pahala ibadah tersebut akan diraihnya juga.
Ketika Perang Tabuk pada tahun kesembilan Hijrah ada umat Islam yang tidak dapat pergi ikut berjihad disebabkan keuzuran mereka termasuk tidak mempunyai biaya untuk berperang sehingga membuat mereka mengadu kepada Baginda SAW seraya menangis kerana bersedih.
Untuk meraikan keadaan seperti mereka yang ikhlas itu maka Rasulullah SAW bersabda mafhumnya: “Sesungguhnya di Madinah ada beberapa orang yang tidak ikut berperang. Setiap kamu melakukan suatu perjalanan dan menempuh suatu lembah pasti mereka sentiasa bersama kamu.” Para sahabat bertanya, “Mereka sekarang berada di Madinah?” Nabi menjawab, “Ya, mereka di Madinah. Mereka terhalang oleh uzur. (HR Bukhari)
Jadi walaupun kita melakukan i’tikaf di rumah maka pahalanya sama juga seperti melakukannya di masjid dalam suasana COVID-19 yang membuat kita termasuk orang-orang yang dalam keadaan uzur. Semoga.
Baca Juga: [Hadits Arbain ke-7] Agama itu Nasihat
Wallahu a’lam. Semoga bermanfa’at.
Bandar Seri Begawan, 15/05/2020. (A/DS/RS2)
Mi’raj News Agency (MINA)
Baca Juga: Pentingnya Memahami Fiqih Jual Beli dalam Berdagang